Wednesday, August 3, 2016

5 sebab mengapa anda perlu IKRAR derma organ


Sejak ditubuhkan pada 1997, Pusat Sumber Transplan Nasional sentiasa menyeru masyarakat supaya mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ melalui kempen, ceramah, iklan dan lain-lain. Walaubagimanapun, sehingga hari ini, hanya sekitar 1% sahaja rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pengikrar penderma organ. Masih ramai lagi masyarakat yang belum mempunyai kesedaran untuk mendermakan organ sedangkan jumlah pesakit yang menunggu untuk rawatan pemindahan organ terus meningkat.

JADI, MENGAPAKAH ANDA PERLU IKRAR SEBAGAI PENDERMA ORGAN?

1) Menjadikan anda seorang yang lebih sihat


Bukan semua orang yang berdaftar sebagai pengikrar penderma organ mempunyai potensi yang sama untuk menjadi penderma sebenar. Ini adalah disebabkan faktor kesihatan yang kadangkala menjadi penghalang dari ia berlaku. Dengan mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, anda diseru untuk sentiasa mengamalkan cara hidup yang aktif dan sihat selain meninggalkan amalan-amalan yang mendatangkan mudarat kepada organ seperti merokok dan sebagainya. Ingat, hanya organ yang sihat sahaja yang layak dan sesuai untuk didermakan.

2) Menjadikan anda seorang 'hero'


Lebih 20 ribu pesakit sedang menanggung derita menantikan pemindahan organ. Mereka mungkin terdiri dari saudara-mara, sahabat atau jiran tetangga kita. Mereka ini sentiasa menantikan penderma organ untuk menjadi hero yang membawa mereka keluar dari kesengsaraan akibat kegagalan fungsi organ. Majoriti dari pesakit-pesakit ini adalah mereka yang kegagalan fungsi buah pinggang. Boleh jadi andalah hero yang mereka nanti-nantikan.

3) Menjadikan anda seorang yang lebih tekad


Hakikatnya bukan mudah untuk seseorang membuka hati untuk menjadi penderma organ berdaftar. Apatah lagi dengan banyaknya salah tanggapan, salah informasi dan ditambah pula dengan perselisihan dari segi hukum agama. Ini belum mengambil kira persepsi ahli keluarga dan rakan-rakan. Mungkin ada di antara mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan kita. Namun tekad kita untuk membantu para pesakit kegagalan fungsi organ mengatasi semua persepsi tersebut. Tahniah!

4) Anda mungkin terbabit mencipta sejarah


Steve Jobs, seorang tokoh yang popular dengan penghasilan peranti elektronik moden yang telah mengubah dunia teknologi seperti ipod, iPhone dan iPad adalah seorang penerima pendermaan organ. Penderma organ untuk Steve Jobs secara tidak langsung terlibat dalam kerja-kerja beliau sepanjang menghasilkan produk-produk yang hebat, bahkan diakui sendiri oleh Steve Jobs dalam salah satu ucapan beliau. Kita mungkin tidak tahu, organ yang kita dermakan mungkin akan menyelamatkan nyawa insan yang bakal mencipta sejarah yang tersendiri yang mungkin memberi manfaat kepada negara dan dunia.


5) Anda terlibat mengharumkan nama negara

Malaysia terkenal dengan banyak perkara. Namun dari aspek pendermaan organ, kita agak (jauh) ketinggalan di belakang berbanding negara-negara lain (rujuk http://www.irodat.org/). Keadaan ini mesti diubah bagi menjadikan Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang prihatin rakyatnya terutama dalam isu pendermaan organ selain mengharumkan nama negara, sebaris dengan negara-negara jaguh pendermaan organ seperti Sepanyol, Amerika Syarikat dan Perancis. Anda mampu mengubah kedudukan negara kepada yang lebih baik dengan bersama-sama berikrar sebagai penderma organ.


Ayuh berikrar hari ini. Daftarlah sebagai pengikrar penderma organ secara online di sini.

Sekian. Semoga bermanfaat.

1 comment:

  1. Halo semuanya,
    ini untuk menginformasikan kepada masyarakat umum bahwa donor ginjal yang sehat diperlukan dari semua golongan darah, Kami akan memberikan harga yang jujur dan perawatan terbaik untuk transplantasi Anda sebagai perawatan medis terbaik, Anda dapat menyumbang atau mendukung membantu meningkatkan kehidupan pasien ginjal & mereka keluarga hubungi kami di: drmercyhospital686@gmail.com
    rumah sakit whatsapp dr mercy +2348100367800 atau whatsapp +491639478840
    Donate-Help-Support Jadilah Penghemat Kehidupan.

    ReplyDelete